Pinjaman
Perniagaan MARA
MARA atau Majlis Amanah Rakyat
adalah merupakan antara agensi kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah. Antara bidang tugas yang perlu dilaksanakan oleh MARA adalah berkaitan
bidang keusahawanan dan perniagaan seperti Program Pembangunan Usahawan,
Pembangunan Industri dan Perniagaan, Pembiayaan Perniagaan serta
dipertanggungjawab untuk mengusahakan pembangunan Premis Perniagaan.
Selain bidang keusahawanan, MARA
juga turut berperanan dalam membantu menaikkan taraf pendidikan negara. Boleh
dikatakan setiap tahun MARA memperuntukkan sejumlah besar daripada kewangan
mereka untuk disalurkan dalam bentuk tajaan dan pinjaman kepada para pelajar
dalam pelbagai bidang.
MARA juga turut dikenali dalam
bidang pendidikan melalui penubuhan Maktab Rendah Sains MARA atau MRSM. Apa
yang dapat dirumuskan secara ringkas adalah MARA begitu gigih dalam
menghasilkan lebih ramai usahawan-usahawan di negara kita selain sentiasa
berusaha untuk melahirkan lebih ramai golongan bijak pandai di negara kita.
MARA juga telah menetapkan misi
korporatnyauntuk menerajui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan untuk
pengusahaan ekuiti Bumiputera. Untuk itu, MARA turut meletakkan sasaran bagi
melahirkan usahawan yang berjaya dan inovatif, melahirkan modal insan global
dan berintegriti, menyumbang kepada pemilikanekuiti, serta memudahkan sistem
penyampaian.
Bagi memastikan segala misi dan
tujuan yang disasarkan tercapai, pihak MARA sedia membantu sesiapa sahaja
terutama bagi mereka-mereka yang berminat untuk menjalankan apa jua jenis
perniagaan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Bantuan yang
diberikan oleh MARA adalah dalam bentuk pinjaman atau pembiayaan.
Skim Pembiayaan Perniagaan yang
diperkenalkan oleh MARA adalah meliputi mana-mana sektor perniagaan yang tidak
bercanggah dengan Syariat Islam. MARA akan membantu perniagaan-perniagaan
seperti Sektor Pembuatan, Perdagangan, Perkhidmatan dan Pemborongan. Sektor
Pembuatan adalah seperti perusahaan
perkilangan yang mengusahakan makanan dan minuman, plastik, elektrik dan
komponennya, tekstil pakaian dan kulit, hasil pertanian, serta telekomunikasi.
Konsep Perdagangan pula melibatkan urusan jual beli barangan seperti penjualan
perabot, peruncitan, pasar mini, stesen minyak dan mana-mana yang berkaitan
dengan aktiviti perdagangan. Kedai gunting rambut, restoran atau kedai-kedai
makan, guaman dan klinik pula antara contoh bagi sektor Perkhidmatan.
Pemborongan yang dimaksudkan oleh
MARA pula adalah bagi kerja-kerja kontrak binaan, bekalan dan perkhidmatan
seperti membina bangunan, membuat jalan dan pendawaian elektrik. Skop pembiyaan
perniagaan yang ditekankan oleh MARA ini jelas tidak bertentangan langsung
dengan hukum-hukum Islam.
Skim-Skim
Pembiayaan Yang Ditawarkan Oleh MARA
·
Skim Pembiayaan Peningkatan
Perniagaan (SPPP)
SPPP ditawarkan bagi membiayai
mana-mana projek perdagangan, pekhidmatan, pembuatan dan pengangkutan. Had
pembiayaan atau pinjaman yang diberikan kepada Syarikat Milik Tunggal/
Persendirian adalah sehingga RM250,000 manakala untuk Syarikat Sendirian Berhad
sehingga RM500,000. MARA akan menilai terlebih dahulu tentang belanjawan kasar
bagi sesuatu projek sebelum meluluskan sebarang pinjaman.
·
Skim Pembiayaan Komersial
Skim Pembiayaan Komersial adalah
bagi tujuan pembelian premis perniagaan yang bertaraf kekal dan siap dibina
atau pembinaan premis perniagaan di atas tanah milik sendiri. Had pinjaman yang
diberikan MARA bagi Skim Pembiayaan Komersial adalah sama seperti Skim
Pembiayaan Peningkatan Perniagaan.
·
Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres
(SPiKE)
SPiKE pula ditawarkan kepada
kerja-kerja kontrak pembinaan, bekalan, perkhidmatan, dan kerja-kerja elektrik.
Pinjaman yang diberikan adalah kepada mana-mana kontraktor kelas F, D dan E.
Kadarpinjaman yang boleh diluluskan MARA adalah sehingga RM500,000.
·
Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM)
Merupakan antara skim yang
memberikan kemudahan pinjaman kepada usahawan-usahawan Bumiputera yang
terpilih. Bagi memastikan SJUM dapat dilaksanakan dengan baik, MARA telah
bekerjasama dengan bank komersial yang menawarkan kemudahan pembiayaan dan MARA
berperanan sebagai penjamin. SJUM juga menawarkan jumlah pinjaman tertinggi
sehingga mencecah RM2 juta dan serendah RM500,000.
Keempat-empat skim yang diperkenalkan mempunyai pengkhususan
tersendiri dan kesemuanya adalah bertujuan untuk membantu usahawan-usahawan
yang berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan yang sedia ada atau membuka
perniagaan baru.
Prosedur
Permohonan Pembiayaan Perniagaan
Terdapat beberapa prosedur yang
digariskan oleh MARA untuk mana-mana syarikat yang berminat untuk mendapatkan
bantuan pinjaman yang ditawarkan. Bagi Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE)
dan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPPP), borang permohonan boleh
didapati melalui mana-mana Pejabat MARA Daerah/Negeri yang berhampiran.
Sebanyak empat borang yang perlu didapatkan iaitu :
- Borang Permohonan Pembiayaan Perniagaan
- Borang Maklumat Peribadi
- Borang Jaminan/Cagaran
- Senarai Semak Permohonan Pembiayaan
Sejumlah bayaran pemprosesan
permohonan juga dikenakan mengikut kadar pinjaman yang dimohon. Bagi Skim Jaminan
Usahawan MARA (SJUM), permohonan boleh dilakukan dengan menggunakan rancangan
perniagaan kepada bank komersial yang berhampiran iaitu Bahagian Pembiayaan
Perniagaan MARA dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.
Para usahawan boleh membuat
permohonan di Pejabat MARA Daerah dan setelah diteliti oleh Pejabat MARA
Daerah, borang tersebut akan dihantar kepada Pejabat MARA Negeri/Bahagian
Pembiayaan Perniagaan dan sekiranya Pejabat MARA Daerah tidak berpuas hati,
borang-borang tersebut akan dikembalikan semula kepada pihak pemohon. Pejabat
MARA Negeri / Bahagian Pembiayaan Perniagaan bertindak sama ada untuk
meluluskan atau tidak permohonan yang telah dibuat.
Pejabat MARA Negeri mempunyai bidang
kuasa untuk mengeluarkan sebarang keputusan bagi permohonan yang melibatkan
Skim SPiKE dan Skim SPPP yang melibatkan permohonan pembiayaan sehingga
RM250,000. Bahagian Pembiayaan Perniagaan pula berbidang kuasa untuk sebarang
permohonan Skim SPPP yang berjumlah RM250,001 sehingga RM500,000 dan Skim SJUM.
Sebarang keputusan akan dimaklumkan oleh MARA kepada pihak pemohon dalam tempoh
14 hari bekerja.
Selain itu, bagi memudahkan para
pelanggan, MARA turut menyediakan garis panduan berkaitan bagaimana untuk
menyediakan rancangan perniagaan. Tujuan rancangan perniagaan perlu disediakan
adalah untuk membolehkan usahawan melihat dan menilai projek secara objektif,
kritikal dan praktikal. Selain itu, rancangan perniagaan dapat menjadi satu
kayu ukur bagi pengurusan perniagaan dalam masa yang sama mengkaji sama ada
projek yang akan dilaksanakan berdaya maju atau sebaliknya. Rancangan
perniagaan juga berperanan untuk meyakinkan pihak-pihak tertentu terhadap
idea-idea perniagaan dan sebagai asas bagi cadangan pembiayaan. Dengan adanya
rancangan perniagaan, maka objektif dan peluang untuk melaksanakan perniagaan
tersebut adalah lebih cerah dan mudah.
Dalam persoalan cagaran atau jaminan
pula, MARA telah mengenalpasti beberapa langkah dan kaedah. Bagi Jaminan Orang
Perseorangan iaitu bagi yang bermajikan, adalah dibenarkan dengan mengambil
mana-mana kakitangan sektor awam atau swasta sebagai penjamin. Cara kedua pula
adalah melalui cagaran tanah. MARA menerima tanah sebagai cagaran bagi tanah
yang bebas dari sekatan, milik sendiri, atau milik ibu bapa dan saudara-saudara
yang terdekat. MARA turut membenarkan cagaran yang dibuat dengan menggabungkan
penjamin dan juga tanah.
Selain itu, jaminan tambahan yang
dibenarkan adalah seperti jaminan Ahli Lembaga Pengarah untuk Syarikat
Sendirian Berhad, Surat Ikatan Serahak bagi pembiayaan kontrak, dan Perjanjian
‘Debenture’ bagi pembiayaan RM250,001 dan ke atas. Cagaran atau jaminan yang
dikenakan oleh MARA bertujuan untuk memastikan para usahawan lebih
bersungguh-sungguh dan gigih menjalankan perniagaan apabila telah mendapat
pembiayaan daripada MARA.
MARA turut menyediakan perkhidmatan
taklimat pembiayaan yang telah dijadualkan mengikut tarikh-tarikh tertentu. Ini
bagi memastikan, para usahawan berpeluang untuk mengetahui lebih lanjut tentang
skim-skim pinjaman yang ditawarkan. Taklimat pembiayaan yang diadakan juga
merupakan salah satu strategi bagi MARA mempromosikan skim-skim yang ada kepada
msyarakat secara umum. Sesiapa sahaja yang berminat boleh menyertai sesi
taklimat ini dengan menghubungi pihak MARA untuk mendapatkan butir-butir
berkaitan penganjuran taklimat tersebut.
Syarat
Kelayakan Permohonan
Namun begitu, para usahawan juga
perlulah meneliti terlebih dahulu berkaitan syarat-syarat kelayakan untuk
memohon skim-skim yang ditawarkan MARA. Sekiranya ada aman-mana syarat-syarat
ini yang tidak dapat dipenuhi oleh pihak pemohon, maka sudah tentu sukar untuk
mendapatkan sebarang pembiayaan. Syarat-syarat kelayakan memohon skim-skim MARA
adalah seperti berikut :
- Warganegara Malaysia berketurunan Melayu atau Bumiputera
- Berumur 18 tahun dan keatas
- Pengalaman atau pengetahuan dalam bidang perniagaan yang diceburi
- Menjalankan perniagaan sepenuh masa
- Sumbangan modal pemohon 10% daripada kos projek
- Mempunyai lesen/permit/surat kebenaran daripada pihak berkuasa
- Dapat mengemukakan cagaran/jaminan yang mencukupi
- Perlu mengikuti Kursus Keusahawanan jika pengalaman dalam bidang yang diceburi kurang daripada 6 bulan
- Menjalani ujian Psikometri (kecuali Skim SPiKE)
Syarat-syarat yang ditetapkan oleh
MARA perlu dipenuhi dan dipatuhi bagi memudahkan segala proses pembiayaan. Apa
yang pasti, syarat-syarat ini adalah untuk memastikan para usahawan yang ingin
memohon benar-benar bersedia untuk melaksanakan sebarang projek dan perniagaan
apabila permohonan pembiayaan telah diluluskan.
Keistimewaan
Pembiayaan Perniagaan MARA
Terdapat beberapa keistimewaan bagi
pembiayaan perniagaan yang diperkenalkan oleh MARA. Antaranya ialah konsep yang
dibawa MARA berasaskan kepada kaedah-kaedah yang diperkenalkan oleh Islam.
Terdapat lima kaedah yang diguna pakai dalam mengetengahkan konsep pembiayaan
perniagaan MARA. Kaedah-kaedah tersebut adalah seperti berikut :
·
Al
Bai – Bithaman Ajil (Jualan dengan Harga Tangguh)
Bagi konsep ini, pembiayaan boleh
digunakan bagi semua tujuan yang berkaitan dengan perniagaan seperti membeli
harta tetap, keperluan modal kerja, belanja mengurus dan jaminan bank.
·
Al-Murabahah (Jualan dengan tambang untung)
Digunakan untuk membiayai pembelian
bahan mentah, barang-barang separuh siap, barang-barang siap dan kelengkapan
alat ganti.
·
Al-Ijarah (Pajakan atau Sewaan)
Pelanggan yang memerlukan peralatan
loji, mesin, kenderaan atau aset mudah alih boleh menyewa peralata tersebut
daripada MARA. Apabila bayaran sewa diselesaikan, peralatan tersebut
dipindahmilik kepada pelanggan.
·
Bai
Al – Inah (Menjual sesuatu barangan dengan
harta tangguh kepada pembeli)
Konsep inikhususbagi kegunaan
belanja mengurus sahaja seperti membayar gaji, sewa premis, elektrik dan air.
·
Musyarakah
Mutanaqisah
Perkongsian
di bawah kontrak Musyarakah Islam di antara MARA dan pelanggan mengikut
perjanjian yang mana salah satu pihak berhak untuk menebus balik kesemua
pegangan syer pihak yang satu lagi dalam perkongsian mereka. Konsep ini
digunakan dalam Skim Pembiayaan Premis Komersial.
Kesimpulannya
Secara ringkasnya, dapat dirumuskan
bahawa MARA sangat prihatin dan aktif dalam usaha melahirkan lebih ramai
usahawan Melayu dan Bumiputera. Skim-skim yang diperkenalkan MARA bertujuan
untuk membantu para usahawan yang tidak mempunyai modal yang secukupnya untuk
mengembangkan perniagaan mereka. Oleh itu, kesemua skim-skim yang ditawarkan
MARA dilihat begitu berkesan dalam langkah mengangkat kedudukan ekonomi negara
ke satu tahap yang lebih baik. Usaha MARA perlu terus disokong demi pembangunan
negara ke arah lebih maju dan berkembang. Diharapkan agar MARA terus berdiri
teguh dan menjadi nadi dalam memartabatkan bidang keusahawanan di negara ini.
No comments:
Post a Comment